KUALA LUMPUR – Pelakon Riena Diana atau lebih dikenali sebagai Lailer menerusi drama Kampung People bercadang untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia 26 tahun.
Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 23, yang sedang hangat bercinta dengan seorang lelaki bernama Nik Afiq berkata, buat masa ini dia mahu fokus dalam kerjaya lakonannya sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Kita merancang tetapi Allah menentukan. Saya tidak pernah menyembunyikan hubungan saya dengan dia (Nik Afiq). Saya seorang selebriti, jadi sedikit sebanyak dia perlu membiasakan diri dengan gosip dan hal-hal seperti itu.
“Saya dan Nik Afiq okey. Hubungan kami berjalan seperti biasa. Walaupun saya jarang berkongsi foto dengan dia di Instagram, itu tidak bermakna saya tidak lagi bersama dengannya. Kalau tiada aral melintang, saya bercadang mahu kahwin pada usia 26 tahun.
“Dengan siapa, saya tidak tahu lagi kerana dalam tempoh menuju usia 26 tahun itu (tiga tahun lagi) macam-macam perkara boleh berlaku. Pun begitu, saya bahagia dengan hubungan saya dengannya sekarang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ditanya mengenai keistimewaan Nik Afiq di matanya, Riena Diana berkata, dia melihat teman lelakinya itu mempunyai ciri-ciri sesuai untuk dijadikan sebagai calon suami.
“Sebenarnya, tidak manis untuk orang perempuan bercerita secara terbuka, tetapi saya melihat dia sebagai seorang lelaki yang sangat memahami diri saya.
“Dia menyokong terhadap apa jua perkara yang saya lakukan,” ujar Riena Diana.
Riena Diana dan Nik Afiq mula berkenalan sejak setahun lalu dan menjalin hubungan cinta beberapa bulan selepas berkenalan.
Menurut Riena Diana, detik perkenalan dengan lelaki itu berputik selepas dia bercuti di sebuah pusat peranginan yang diusahakan Nik Afiq di Janda Baik, Pahang.