PERANCIS – Pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Fabio Quartararo mahu memanfaat kelebihan pada jentera Yamaha YZR-M1 untuk memastikannya mampu meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Perancis pada hujung minggu ini.
Pelumba Perancis tersebut mengakui casis dan reka bentuk pada jentera YZR-M1 bersesuaian dengan Litar Le Mans dan yakin pasukannya itu mampu melakar sejarah seperti yang dilakukannya di Barcelona akhir bulan lalu.
Quartararo berjaya meraih kemenangan GP Barcelona di Litar Catalunya, sekali gus kembali memimpin carta kedudukan pelumba dengan kelebihan tujuh mata dengan pelumba Suzuki, Joan Mir.
“Saya fikir jentera M1 mampu berfungsi dengan baik di sana. Kami tahu betul bahawa jentera M1 sangat sesuai di litar ini. Saya sangat gembira kerana dapat beraksi di laman sendiri dan ia adalah perasaan yang luar biasa tiba di Perancis sebagai pendahulu perlumbaan.
“Le Mans merupakan litar kegemaran saya. Penting bagi kami untuk memburu kemenangan sekaligus memperoleh mata sebanyak yang mungkin. Saya tiada masalah beraksi di litar ini kerana tahun lalu saya mengakhiri perlumbaan di kedudukan kelapan.
“Saya harap dapat meneruskan momentum cemerlang seperti di Barcelona dan mampu diulangi di Perancis untuk membawa kejayaan buat pasukan.
“Saya tidak sabar untuk turun beraksi pada Jumaat ini nanti. Saya harap peminat dapat hadir untuk memberi sokongan kepada kami,” katanya.
Untuk rekod, pelumba paling banyak menjuarai perlumbaan di Le Mans adalah Jorge Lorenzo yang meraih lima kemenangan. Pelumba Honda, Marc Marquez menjulang kemenangan sebanyak tiga kali, manakala Maverick Vinales menjuarai perlumbaan tersebut sekali. – AGENSI