fbpx

PN belum bincang tangguh PRK Parlimen Batu Sapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Gopine Ladang Terbesar Di Perak di RTC Gopeng. Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Belum ada perbincangan dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung cadangan untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah berikutan kebimbangan tentang penularan wabak Covid-19.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini perkara tersebut belum disuarakan dalam kalangan rakan-rakan parti komponen yang lain.

Jelas beliau yang juga Menteri Besar Perak, sudah pasti perkara tersebut yang berkaitan dengan keselamatan rakyat perlu dilihat secara bersama-sama.

“Tiada perbincangan sama ada untuk tidak serta atau tangguh PRK Parlimen Batu Sapi, namun kalau ada keperluan misalnya peningkatan kes sudah tentu wujud kebimbangan.

“Pada masa sama perkara itu juga sudah pasti turut diambil berat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Gopine Ladang Nanas MD2 Terbesar Di Perak di RTC Gopeng di sini hari ini.

PRK Parlimen Batu Sapi perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

Difahamkan, mesyuarat khas SPR bagi PRK Parlimen Batu Sapi pula dijangka diadakan minggu hadapan.

Dalam pada itu kata Ahmad Faizal, sekiranya PRK Batu Sapi diadakan maka pendekatan berkempen secara fizikal sudah pasti perlu dilakukan dengan mengikut aturan yang ketat.

Katanya, SPR perlu menguatkuasakan peraturan agar penjarakkan fizikal dilakukan dengan ketat selain kawalan semasa tempoh berkempen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI