Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Majlis angkat sumpah jawatan menteri, pembantu menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah lantikan berlangsung di Istana Negeri pagi ini.
Seramai 23 individu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam suatu majlis pada pukul 10 pagi hari ini.
Antara yang mengangkat sumpah termasuklah Datuk Kadzim M. Yahya yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Bagaimanapun, upacara angkat sumpah berkenaan dimaklumkan dilaksanakan secara sederhana tanpa melibatkan kehadiran tetamu undangan berikutan penularan wabak Covid-19 di Sabah.
Dalam pada itu, menerusi majLis angkat sumpah terbabit, pentadbiran kerajaan negeri Sabah yang baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kini lengkap.
Terdahulu, Hajiji mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah diikuti barisan timbalan-timbalan ketua menteri dan menteri-menteri kanan pada 29 September lalu. – K! ONLINE