Oleh SAFINA RAMLI
GEORGE TOWN – Sebuah pusat rawatan khas bagi merawat tahanan di dalam Penjara Reman Pulau Pinang di sini akan dibuka sebagai langkah persediaan jika berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan.
Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, selain pusat rawatan khas itu, sebuah klinik yang lengkap dengan doktor dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) turut disediakan di dalam penjara berkenaan.
“Pusat rawatan khas itu telah disiapkan dengan bantuan daripada KKM dan pihak kami telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sehingga hari ini keadaan dalam Penjara Reman Pulau Pinang terkawal dan banduan juga tidak menunjukkan sebarang simptom serta tidak bergejala,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kluster Penjara Reman merupakan antara kluster baharu yang dikenalpasti oleh KKM semalam.
Menurut Mohamed Jusoh lagi, ujian saringan Covid-19 akan terus dilakukan kepada 2,300 banduan di dalam penjara itu dengan keutamaan kepada mereka yang mempunyai penyakit serta warga emas.
Setakat ini enam orang yang dijangkiti Covid-19 di Penjara Reman Pulau Pinang itu sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, manakala seorang banduan berusia 85 tahun meninggal dunia pada Isnin lalu. – K! ONLINE