fbpx

Penglibatan swasta meriahkan e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DEWASA ini, sukan elektronik (e-Sukan) bukan lagi asing dalam masyarakat. Kewujudan sukan kategori baharu ini dilihat sudah sebati terutamanya dalam kala­ngan golongan belia.

Tidak hanya tertumpu dengan penggunaan platform komputer, konsol, simulator perlumbaan dan realiti maya (VR), e-Sukan juga mudah untuk dimainkan secara mudah alih dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Selain itu, penganjuran pertandingan antarabangsa bertaraf Olimpik dalam permainan seperti Dota 2, Mobile Legends, Counter Strike: Global Offensive dan PUBG Mobile:Battle Of Champion juga menjadikan sukan ini semakin popular.

Tidak dinafikan, hadiah kemenangan dalam pertandingan e-Sukan merupakan satu daya tarikan kepada golongan muda.

Sebagai contoh ialah ikon negara iaitu Soloz dan kumpulannya, Team Bosskurr yang dilihat mampu membina nama yang cukup gah, malah turut mewakili negara untuk pertandingan pe­ringkat antarabangsa.

Sifirnya mudah. Dengan bermain permainan video di telefon pintar, kita mampu menjana wang lebih-lebih lagi menerusi siaran langsung di media sosial.

Meskipun mereka berjaya berdiri di atas kaki sendiri, pembangunan e-Sukan di negara ini sebenarnya tidak dapat dilaksanakan tanpa penglibatan syarikat swasta atau pihak kerajaan.

Mengambil contoh di nege­ri tempat saya bertugas iaitu Kelantan, sebuah syarikat swasta, Eskel Event Sdn. Bhd. (Eskel) merupakan antara tunjang dalam menggerakkan pembangunan e-Sukan di negeri ini.

Ramai pemain e-Sukan terutamanya PUBG Mobile bernaung di bawah syarikat itu untuk mengembangkan karier masing-masing.

Pengerusi Eskel, Datuk Dr. Mohd. Zain Yusof berkata, beliau kini sedang mencari bakat-bakat baharu dalam pelbagai kategori e-Sukan untuk diketengahkan sebagai langkah awal untuk mewakili Kelantan pada Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di ne­geri ini pada 2024.

Katanya, pelbagai persiapan sedang dijalankan termasuk turun padang ke sekolah-sekolah bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan.

“Sebagai sebuah syarikat, kita menyediakan tempat untuk pemain e-Sukan berlatih di sebuah premis di Kota Bharu. Ia merupakan tempat untuk mereka me­luahkan idea dan merangka strategi tersendiri sebelum menyertai sebarang pertandingan.

“Saya melihat ia sebagai salah satu bentuk pelaburan untuk masa depan. Kita tidak mahu anak muda terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral. Lebih baik mereka menjadikan e-Sukan sebagai hobi pada awalnya sehingga akhirnya mampu menjana pendapatan,” katanya.

Menurut Mohd. Zain, sepanjang beberapa tahun mengendalikan Eskel, beliau melihat banyak potensi untuk membangunkan e-Sukan selain mencari pemain-pemain yang berkaliber dari negeri Kelantan menerusi pertandingan anjuran syarikatnya.

Sementara itu, Pengarah MSN Kelantan, Muhammad Imran Mansoor berkata, MSN kini dalam fasa perancangan untuk membangun e-Sukan di negeri ini dengan kerjasama daripada pihak Eskel dan akan turun ke sekolah-sekolah bagi mencungkil bakat-bakat baharu.

Katanya, ia merupakan persiapan awal untuk negeri Kelantan menjadi tuan rumah Sukma edisi ke-21 yang dijangka berlangsung pada 2024 nanti.

“Ketika ini kita telah me­nyarankan pihak sekolah untuk membuka kelab e-Sukan bagi menarik minat dalam kalangan pelajar,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI