KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman dalam kejadian di Flat Sri Sabah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.03 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan pihak polis menemui mangsa yang berusia 52 tahun terbaring di hadapan sebuah kedai runcit tingkat bawah flat tersebut.
“Siasatan awal mendapati, mangsa bertengkar dengan suspek di hadapan sebuah kedai sebelum lelaki itu ditemui terbaring berlumuran darah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Cheras untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurut beliau, polis sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- K! ONLINE