MEMINATI sukan go-kart sejak enam tahun lalu membuatkan Dayang Suria Ismail,35, tidak akan melepaskan peluang untuk memandu kereta lumba itu setiap kali ada masa lapang.
Dayang Suria yang merupakan pelumba profesional daripada Kelab GM6 Society Malaysia iaitu kelab kereta Honda City sering mengunjungi pusat litar go-kart untuk membuat latihan
sebagai persediaan sebelum menyertai pertandingan lumba kereta.
Salah satu tempat kegemarannya memandu kereta go-kart adalah di X Park Sunway Serene yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
“Saya sangat suka memandu go-kart di sini kerana tempatnya sangat selesa, kereta lumba yang berkualiti dan harganya berpatutan.
“Oleh itu, saya bersama rakan-rakan pelumba akan datang ke sini untuk membuat latihan dan meluangkan masa bersama,” katanya yang berjaya dinobatkan sebagai naib juara dalam kejohanan GM6 Society Go-Kart Championship pada Mac lalu.
Tambahnya yang juga merupakan pelumba kereta Honda City untuk Kelab GM6 Society Malaysia berkata, latihan di litar go-kart penting untuk perkemaskan lagi teknik pengawalan stereng dan mengawal kenderaan ketika dipandu laju.
Sementara itu, Penolong Pengurus X Park Sunway Serene, Mohd. Danial Fitri Roslan berkata, tempat tersebut membuka peluang kepada semua orang tidak kira pelumba profesional atau kepada mereka yang ingin mencuba memandu go-kart.
“Sejak beroperasi setahun lalu, X Park Sunway Serene menerima kunjungan daripada pelbagai latar belakang yang ingin merasai pengalaman memandu go-kart.
“Di sini, kami bahagikan kepada tiga kategori iaitu Kiddie Kart, Double Seater dan Fast Kart,” terang anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Mengulas lanjut mengenai kategori itu, Mohd. Danial Fitri memberitahu, Kiddie Kart khas untuk kanak-kanak, manakala Double Seater disediakan untuk ibu atau bapa memandu go-kart bersama anak mereka.
Kategori Fast Kart pula untuk orang dewasa dengan kelajuan enjin 270cc.
Kesemua kategori itu akan dilepaskan mengikut sesi yang berbeza bagi menjaga keselamatan pemandu.
Had umur untuk memandu go-kart di X Park Sunway Serene adalah minimum enam tahun dengan pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Trek go-kart sepanjang 580 meter itu boleh menampung maksimum 10 kereta lumba bagi satu sesi.
Ulas Danial Fitri, satu sesi itu diperuntukkan selama 10 minit yang mana pengunjung boleh memandu go-kart untuk sembilan hingga 12 pusingan.
Harga bagi satu sesi untuk Kiddie Kart adalah RM30, manakala kategori Double Seater dan Fast Kart pula kedua-duanya berharga RM60.
Pusat litar go-kart itu juga menawarkan pakej mini perlumbaan iaitu pakej A sebanyak RM180 dan pakej B, RM200.
Istimewanya di X Park Sunway Serene, pengunjung boleh memandu go-kart di bawah bumbung tanpa risau cuaca panas atau hujan.
X Park Sunway Serene juga sangat mementingkan aspek keselamatan yang mana pemandu akan diberi taklimat ringkas pemanduan sebelum bermula.
Mengambil berat mengenai isu terkini iaitu Covid-19, pihak X Park Sunway Serene akan membuat sanitasi peralatan seperti topi keledar setiap kali berakhirnya sesi pemanduan.
Di samping itu, pihaknya juga akan memastikan prosedur operasi Standard (SOP) dipatuhi seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.