ALOR SETAR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 720 kilogram (kg) pisang dari Thailand yang didapati gagal mematuhi syarat import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung dekat sini semalam.
Lori yang membawa bekalan pisang dianggarkan bernilai RM1,080 itu ditahan untuk pemeriksaan rutin kira-kira pukul 3 petang.
Pengarahnya, P. Lily Rosalind memberitahu, pemeriksaan mendapati sebanyak 720 kg pisang cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import seperti ditetapkan di bawah Akta 728.
“Keluaran pertanian dari Thailand itu didapati gagal mematuhi syarat import seperti dinyatakan dalam Sijil Perakuan Pematuhan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kegagalan dalam mengemukakan maklumat berhubung gred, pembungkusan dan label itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta sama,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan lagi di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Maqis akan memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya. -K! ONLINE