KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera ditetak ketika sedang menjamu selera bersama tiga rakannya di sebuah restoran di Taman Sri Tanjung, Semenyih, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat terkena libasan sebilah pedang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, selepas kejadian, beberapa rakan mangsa terus mengejar suspek dan berjaya menangkapnya.
“Suspek turut cedera akibat bergelut dengan rakan mangsa. Mangsa kemudiannya menghubungi balai polis untuk bantuan menahan suspek.
“Suspek berusia 63 tahun itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut. Pihak polis turut merampas dua bilah parang panjang dan sebilah pisau,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zaid berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan pernah menerima rawatan psikiatrik di Hospital Ulu Kinta, Perak.
“Suspek kini direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,”ujarnya.
Terdahulu, tular video yang memaparkan kejadian seorang lelaki telah melibas parang panjang terhadap pelanggan di hadapan sebuah kedai makan.
Klip video berdurasi 52 saat itu juga turut menujukkan berlaku pergeluatan diantara suspek dan beberapa orang lelaki yang cuba menahannya. -K! ONLINE