SUNGAI PETANI – Seorang pembantu restoran mempunyai cara tersendiri untuk memanggil ratusan burung merpati di kawasan sekitar sebelum memberi makan kepada haiwan berkenaan di hadapan Restoran Hussain Nasi Kandar di sini.
Hasfani Azilan Abd. Rahman, 70, yang telah 15 tahun melakukan perkara itu berkata, dia akan melaungkan perkataan ‘ti’ iaitu singkatan kepada merpati setiap kali mahu memberi makan kepada burung pada sebelah pagi dan petang.
“Saya akan melaungkan ti..ti..ti.. sebelum lebih 500 burung dari pokok berhampiran terbang ke arah saya untuk mendapatkan makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran tersebut di sini semalam.
Katanya, pada setiap pagi, kebanyakan burung masih berada di pokok dan biasanya dia perlu memanggil haiwan itu selama kira-kira tiga minit.
“Bagaimanapun, pada sebelah petang, burung merpati seperti sudah menunggu dengan bertenggek di wayar elektrik di hadapan restoran ini,” ujarnya yang telah bekerja di restoran berkenaan sejak 20 tahun lalu.
Ujarnya, sepanjang tempoh itu, dia pernah merawat burung yang mengalami kecederaan akibat tertusuk wayar.
“Saya tolong buka wayar yang diikat pada kaki burung dan pernah menyapu ubat pada bahagian yang cedera,” jelasnya
Menurutnya, aktiviti memberi makan kepada burung-burung mampu memberi ketenangan kepadanya.
“Burung-burung itu sangat manja sehingga ada yang hinggap atas tangan selain saya juga ada bermain dengan haiwan tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, pemilik restoran tersebut, Farook Hassan Mohamed Hussain berkata, dia membekalkan lebih 15 kilogram beras selain roti dan kek sebagai makanan burung merpati di hadapan restoran.
“Aktiviti memberi makan burung merpati ini menjadi rutin harian syarikat sejak 15 tahun lalu yang mana ia dilakukan oleh Hasfani pada setiap pagi dan petang,” katanya yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Hasani Group of Companies.
Tambahnya, dia menganggap amalan memberi makan kepada burung sebagai satu sedekah.
“Bagi saya, kita bukan sahaja boleh bersedekah kepada manusia tetapi kepada haiwan juga,” katanya.
[VIDEO] “Saya akan melaungkan ti..ti..ti.. sebelum lebih 500 burung dari pokok berhampiran terbang ke arah saya untuk mendapatkan makanan”.
Baca penuh kisah pemberi makanan burung ini di https://t.co/i6dkkxNtSM pic.twitter.com/2XKqV1TcSE
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 8, 2020