Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
PUTRAJAYA – Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Na’im Mokhtar disahkan bebas daripada virus Covid-19.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam satu kenyataan berkata, Mohd. Naim yang juga Ketua Pengarah JKSM turut dilaporkan dalam keadaan sihat serta tidak bergejala.
“Beliau telah menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada 6 Oktober lalu di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya sebagai langkah berjaga-jaga.
“Beliau telah mengambil keputusan proaktif untuk melakukan ujian saringan tersebut setelah mendapati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Al-Bakri disahkan menghidap Covid-19 pada 5 Oktober lalu,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Zulkifli telah menghadiri Majlis Perasmian dan Majlis Penutup Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 (PKPSN 2020) anjuran JKSM pada 29 dan 30 September 2020 di Movenpick Hotel and Convention Centre, KLIA Sepang, Selangor. – K! ONLINE