Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Kenderaan perdagangan atau komersial yang membawa barangan dibenarkan untuk terus bergerak seperti biasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Klang, Selangor serta Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kebenaran tersebut juga termasuk kenderaan yang berkaitan seperti bas pekerja.
“Kerajaan akan bagi memastikan tiada sekatan aktiviti ekonomi bagi melindungi sumber pendapatan dan pekerjaan rakyat susulan pelaksanaan PKPB di kawasan tersebut yang bertujuan mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Ini selaras keputusan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) membenarkan semua sektor ekonomi di daerah Klang terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan MKN, demi kepentingan negara untuk pemulihan semula ekonomi yang terjejas teruk,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. -K! ONLINE