fbpx

Jangan sampai jejas pendapatan rakyat -PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, Selangor mestilah tidak menjejaskan sektor ekonomi yang sedang pulih khususnya membabitkan pekerjaan dan pendapatan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu ditekankan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya menerusi sidang video di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, kegiatan ekonomi dan industri di kawasan tersebut termasuk aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang perlu dipastikan tidak terjejas.

“Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri melaporkan pihak industri bersedia untuk terus beroperasi dengan melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata, penularan kes Covid-19 dalam kawasan penjara juga dibincangkan secara lebih terperinci dengan memutuskan pelaksanakan SOP termasuk mewajibkan ujian calitan Covid-19 ke atas semua banduan baharu di samping menempatkan mereka di tempat berasingan yang diwartakan sebagai ‘penjara sementara’ sehingga keputusan ujian diperoleh.

Beliau berkata, jika hasil ujian didapati positif, banduan terbabit akan dihantar terus ke hospital manakala banduan negatif tetap dikuarantin di ‘penjara sementara’ selama 14 hari sebelum dipindahkan ke penjara kekal.

“Sekiranya bergejala, mereka juga akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan walaupun diuji negatif.

“Bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan banduan reman pula, mesyuarat memutuskan agar sebutan kes di mahkamah dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Mengenai situasi pandemik di Sabah terutama di kawasan pantai timur, Muhyiddin berkata, kapasiti sumber manusia, peralatan dan logistik akan dipertingkatkan termasuk di hospital-hospital.

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersedia bagi memenuhi keperluan logistik Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri itu.

Sementara itu, Muhyiddin percaya, para petugas barisan hadapan termasuk agensi di bawah KKM, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain akan menggunakan segala kepakaran dan pengalaman sebelum ini untuk bersama-sama kita melandaikan lengkungan Covid-19.

“Yang penting, kita semua mesti bersatu hati dalam menghadapi detik mencabar ini. insya-Allah,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI