Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Jabatan Perhutanan Perak akan menutup semua laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di dalam Hutan Simpan Kekal di bawah pentadbirannya bermula 15 Oktober hingga 31 Januari 2021.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, penutupan kepada orang awam itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini ekoran musim tengkujuh.
“Penutupan laluan pendakian memang dibuat setiap tahun mulai 1 November hingga 31 Januari kerana musim tengkujuh yang bahaya kepada pendaki.
“Bagaimanapun, penutupan dibuat awal sedikit pada tahun ini disebabkan wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai diminta mematuhi arahan tersebut dan menghubungi Jabatan Hutan terdekat untuk mendapatkan maklumat tambahan. – K! ONLINE