Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Seorang lelaki dan wanita yang berjiran dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan antara satu sama lain hujung bulan lalu.
Majistret Nabihah Mohd. Noor membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam bela, Ranjit Singh yang mewakili Fong Kok Sing, 40, dan Chen Ching Wei, 43, untuk menyelesaikan kes mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.
Kedua-dua pihak sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, Kok Sing dan Ching Wei secara sengaja mendatangkan kecederaan antara satu sama lain di Laluan Chemor Maju 16, Taman Chemor Idaman pada pukul 12 tengah hari, 30 September lalu.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Ranjit memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut secara bersama mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.
Sebaik selesai prosiding, kedua-dua pihak kemudiannya bertemu di luar mahkamah dan saling bermaafan. – K! ONLINE