KUALA LUMPUR- Seorang wanita berusia 57 tahun menanggung azab membayar lebih RM100,000 kepada 11 ah long untuk pinjaman berjumlah RM10,000 yang dibuatnya tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mangsa melihat iklan pinjaman wang yang menawarkan pinjaman yang tinggi semasa melayari laman web pada pertengahan 2019.
“Mangsa telah menghubungi nombor yang tertera di laman web tersebut dan berminat untuk membuat pinjaman yang mana peminjam telah meminta mangsa menghantar salinan kad pengenalan, bil elektrik dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia melalui aplikasi Whatsapp dan telah membuat pinjaman sebanyak rm10,000 pada hari tersebut.
“Mangsa telah membuat pinjaman tersebut kerana mempunyai masalah kewangan dan sedari bahawa sebenarnya dia telah membuat pinjaman dari 11 orang ah long,” menurut beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, mangsa pada awalnya mampu membayar ansuran pinjaman sehingga pada Disember lalu kerana mangsa menghadapi masalah kewangan.
“Bermula daripada itu, mangsa mendapat gangguan dan ancaman dari ah long- ah long tersebut kerana gagal membayar ansuran pinjaman sebagaimana perjanjian.
“Menurut mangsa, lebih dari rm100,000 telah dibayar kepada mereka tetapi ah long terus mengugut serta mengganggu keluarga dan menghubungi mangsa setiap hari,” ujarnya.
Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah komersil Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya telah berjaya menahan lapan lelaki warganegara tempatan dan seorang wanita warga asing berumur lingkungan 25 hingga 48 tahun di sekitar kawasan daerah Petaling Jaya.
“Kesemua suspek telah di tahan reman selama sehari dan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.
“Mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak melebihi daripada RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” tambah Nik Ezanee. -K! ONLINE