Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Cubaan sekumpulan penyeludup untuk membawa masuk sembilan ekor lembu secara tidak sah ke negara ini menggunakan pangkalan haram gagal apabila usaha itu berjaya dipatahkan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 hari ini.
Rampasan lembu bernilai RM54,000 itu dilakukan ketika haiwan tersebut melintasi Jalan Kasban di sini pada pukul 4 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota PGA telah membuat intipan di kawasan semak berhampiran tebing sungai pengkalan haram Pos Rela.
Menurutnya, semasa intipan dilakukan anggota PGA telah melihat sekumpulan lelaki sedang menarik beberapa ekor lembu menyeberangi sungai menggunakan perahu dari arah negara jiran ke tebing sungai di pengkalan haram tersebut.
“Anggota PGA kemudian terus mengekori pergerakan lembu-lembu tersebut.
“Bagaimanapun, pergerakan anggota PGA telah disedari oleh mereka yang terus bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran Jalan Kasban,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azhari berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota PGA di kawasan sekitar membawa kepada penemuan sembilan ekor lembu seludup.
Katanya kesemua lembu tersebut dibawa ke di Balai Polis Jeram Perdah menggunakan lori untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua lembu-lembu itu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui sungai Golok menggunakan perahu.
“Lembu-lembu ini dibawa masuk untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. -K! ONLINE