LIVERPOOL – Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum mendedahkan bahawa spekulasi perpindahannya ke Barcelona adalah sekadar khabar angin apabila kelab gergasi La Liga berkenaan tidak pernah tampil dengan tawaran yang terbaik.
Pemain antarabangsa Belanda itu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sejak beberapa bulan lalu selepas Ronald Koeman mengambil alih tugas membimbing The Catalan.
Wijnaldum berada pada tahun terakhir kontraknya di Liverpool dan masih belum ada tawaran daripada pasukan itu untuk melanjutkan kontraknya.
“Saya tidak fikir ia suatu yang serius (perpindahan ke Barcelona). Tidak ada suatu yang benar-benar kukuh datang dari Barcelona.
“Saya akan terus kekal di sini. Kontrak saya hanya berbaki 10 bulan sahaja lagi tetapi apa-apa boleh berubah kerana dalam bola sepak tiada yang mustahil. Kita tunggu dan lihat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau tidak terkesan dengan spekulasi perpindahan berkenaan biarpun sehingga kini kononnya masih terdapat perbincangan untuk membawa Wijnaldum keluar dari Anfield.
“Saya tidak bercakap mengenai masa depan pemain sejak beberapa tahun lalu tetapi segala-galanya dalam keadaan baik.
“Semuanya masih berjalan seperti biasa. Antara saya, Wijnaldum dan kelab ini, tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana kami bekerja seperti biasa,” jelasnya.
Wijnaldum menjadi antara tonggak penting Liverpool selepas berhijrah dari Newcastle pada 2016 apabila membuat 192 penampilan dengan membantu kelab itu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu serta merangkul Liga Juara-Juara sebelum ini.
– AGENSI