Oleh NOR AINNA HAMZAH
PORT DICKSON – Anggota polis berpangkat koperal Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu bersama isteri dan tiga anak berusia tiga hingga enam tahun disahkan positif Covid-19, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, anggota berkenaan bersama isteri berusia lingkungan 30an dan dua perempuan serta seorang anak lelaki kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.
Bagaimanapun menurutnya, orang awam tidak perlu bimbang memandangkan kesemua tujuh anggota Cawangan Khas dari Kontigen Negeri Sembilan yang bertugas sempena Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah telah dikuarantinkan mengikut prosedur operasi standart sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Kuala Lumpur International Airport (KLIA).
“Enam lagi dikuarantin di Kuala Lumpur, manakala, anggota ini pula dikuarantinkan di rumahnya bersama keluarga.
“Kesemuanya hanya berada di rumah dalam tempoh berkenaan kerana kesemua keperluan termasuk makanan telah disediakan oleh pihak IPD Jelebu,” katanya ketika di Majlis Peringatan 100 Tahun Pondok Polis Pengkalan Kempas, Linggi, dekat sini, pagi tadi.
Sementara itu, Mohamad menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19.
Menurutnya, walaupun Covid-19 masih dalam keadaan terkawal di Negeri Sembilan, senario berkenaan tidak boleh dipandang mudah.
“Setiap dari kita memainkan peranan masing-masing untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat. Patuh SOP dan amalkan langkah berjaga-jaga,” katanya. – K! ONLINE