Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINBALU – Pelantikan Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik menjadikan beliau pemimpin pertama parti berkenaan memegang jawatan ADUN di negeri ini.
Aliakbar adalah antara empat ahli politik yang mengangkat sumpah bagi jawatan terbabit hari ini.
Tiga individu lain yang memegang jawatan sama adalah Suhaimi Nasir, Raimie Unggi dan Jaffari Walliam.
Aliakbar bersama tiga lagi ADUN Dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama lima menteri dan 18 pembantu menteri di Istana Negeri pada pukul 10 pagi tadi.
Aliakbar, 49, turut memegang jawatan Setiausaha Pas negeri, beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.
Berasal dari Kampung Kota Ayangan, Keningau sebelum ini adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Terdahulu, Pas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada 26 September lalu.
Bagaimanapun, parti itu menurunkan jenteranya untuk membantu PN dan rakan sekutunya di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang tempoh kempen PRN Sabah.
Namun pemimpin Pas Pusat dan UMNO menyatakan harapan agar parti itu diberikan tempat sebagai ADUN Dilantik walaupun dibantah rakan parti tempatan khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) selepas GRS berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Dalam pada itu, PBS dan STAR sebelum ini menjelaskan tiada perbincangan untuk melantik wakil Pas, selain menganggap kehadiran parti berasaskan Islam itu tidak bersesuaian dengan budaya di Sabah. – K! ONLINE