KUALA LUMPUR – Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) merupakan bank pertama di Malaysia yang menawarkan sistem digital sepenuhnya untuk masyarakat membuka akaun simpanan.
Proses baharu pembukaan akaun bank ini tidak lagi memerlukan pelanggan mengunjungi cawangan bank atau terminal layan diri.
Pelanggan hanya perlu memuat turun aplikasi Apply@HLB untuk membuka akaun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, manakala kad debit akan dihantar ke destinasi mereka berada di dalam negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, data menunjukkan peralihan ketara kepada perbankan digital sejak tujuh bulan kebelakangan ini.
“Dalam suasana Covid-19, platform pembayaran dan perbankan digital bakal memainkan peranan lebih besar dalam membantu pelanggan meneruskan kehidupan harian tanpa gangguan.
“Kami berharap proses digital ini akan mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan menjadi penanda aras baharu di dalam industri perbankan,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.
Melalui aplikasi Apply@HLB, membuka akaun bank boleh dilakukan dengan tiga langkah mudah dengan hanya menggunakan MyKad dan telefon pintar.
Pertama, sahkan identiti dengan kad pengenalan dan ambil swafoto; kedua isi maklumat peribadi dan langkah terakhir, cipta nama pengguna serta kata laluan untuk HLB Connect bagi mengakses perkhidmatan perbankan online setelah akaun dibuka.
Selepas itu, pelanggan boleh mula memindahkan wang secara online dari akaun lain serta melaksanakan transaksi melalui HLB Connect seperti pembayaran dan pemindahan secara online.
Sementara menunggu kad debit tiba, pengeluaran wang di terminal mesin automatik boleh dilakukan tanpa kad menggunakan ciri Connect ATM.
Warganegara berusia 18 tahun ke atas layak memohon pembukaan akaun HLB melalui aplikasi Apply@HLB.