KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan kecewa dengan kegagalan anak-anak buahnya memanfaatkan beberapa peluang terhidang yang menyaksikan mereka kalah tipis 0-1 kepada Kedah pada aksi Liga Super malam kelmarin.
Pengendali berusia 59 tahun itu percaya, kedudukan skuad bimbingannya akan lebih terjamin dalam kancah Liga Super jika setiap peluang dapat diterjemahkan ke atas skuad Helang Merah dalam perlawanan tersebut.
Namun, kekalahan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu menyaksikan Melaka United yang menduduki tangga ke-10 dengan 11 mata dan dua mata sahaja dipisahkan dengan pasukan ketiga tercorot liga, Sabah.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana pemain menunjukkan mutu permainan yang begitu berkualiti selepas 25 minit pertama hingga tamat perlawanan.
“Kami lambat menyesuaikan diri dan memberi satu gol yang tidak disiplin dari segi set piece (kepada Kedah). Anda bermainlah cantik mana sekalipun tetapi menjaringkan gol amatlah penting.
“Ini adalah beberapa perkara yang perlu diperbaiki kerana Kedah cuma mempunyai beberapa peluang dan menang. Jika kami boleh menjaringkan gol, mungkin kami ada peluang (untuk menang),” katanya selepas tamat perlawanan malam kelmarin.
Gol tunggal Kedah dalam perlawanan itu diperoleh menerusi tandukan tonggak pertahanan import dari Singapura, Muhammad Shakir Hamzah hasil daripada sepakan penjuru pada minit ke-19.
Aksi terakhir liga menyaksikan Melaka berdepan tugas sukar menentang pasukan yang baharu ditabalkan sebagai juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim di Stadium Hang Jebat pada Sabtu ini.