PARIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kelmarin bahawa seorang dalam 10 penduduk dunia dijangkiti virus Covid-19.
“Anggaran semasa kami menyatakan bahawa 10 peratus populasi global yang kini berjumlah sekitar 7.8 bilion berkemungkinan besar dijangkiti koronavirus,” kata pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan.
Angka tersebut adalah lebih 20 kali ganda kes Covid-19 yang disahkan di seluruh dunia pada masa ini.
Menurutnya, rantau Asia Tenggara berdepan peningkatan mendadak jangkitan koronavirus, manakala penularan virus itu terus meningkat di Eropah dan Mediterranean tetapi menurun di Afrika serta Pasifik Barat.
Sementara itu, virus Covid-19 membunuh sekurang-kurangnya 1,037,971 orang di seluruh dunia setakat ini, demikian menurut angka agensi berita AFP berdasarkan sumber-sumber rasmi.
Benua Eropah yang merekodkan sebanyak 235,553 kematian kini menghampiri enam juta kes Covid-19 daripada 35.2 juta jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia.
Britain kekal negara Eropah paling teruk terjejas dengan 500,000 kes disahkan Covid-19 setakat Ahad lepas. – AFP