SOUTHAMPTON – Pemain sayap Everton, Theo Walcott akhirnya kembali menyertai Southampton secara pinjaman musim ini selepas meninggalkan bekas kelabnya itu selama 14 tahun.
Walcott, 31, memulakan kariernya bersama Akademi Southampton pada 2000 sebelum muncul pemain termuda beraksi dengan skuad senior pasukan itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lima tahun kemudian ketika berusia 16 tahun 143 hari.
Kecemerlangan itu menyaksikan khidmat Walcott disambar Arsenal dengan membuat 397 penampilan buat jaguh London tersebut sebelum dia berhijrah menyertai Everton selama tiga musim sejak 2018.
“Saya tidak mampu menolak tawaran Southampton. Saya terhutang budi dengan pasukan ini yang menjadi titik mula dalam karier profesional saya dan mengangkat saya ke tahap yang saya ada ketika ini.
“Saya menangis sewaktu kali pertama diberikan peluang untuk menyarung jersi Southampton. Sekarang saya berasa amat bertuah kerana mereka masih menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat saya,” katanya.
Bekas bintang England itu menyedari peluangnya beraksi dalam kesebelasan utama Everton semakin terhad dengan kehadiran ramai muka baharu antaranya James Rodriguez, Allan, Abdoulaye Doucoure.
Ia terbukti apabila pengurus Everton, Carlo Ancelotti baru menurunkan Walcott dalam satu daripada empat perlawanan EPL setakat ini, itupun sebagai pemain simpanan ketika menang 4-2 ke atas Brighton di Goodison Park baru-baru ini. – AGENSI