Oleh NOR AINNA HAMZAH
PORT DICKSON – Seorang anggota polis tidak menyangka perkongsiannya mengenai pertolongan yang dihulur kepada pasangan suami isteri yang kehabisan minyak motosikal di Tanjung Agas, Port Dickson menjadi tular.
Anggota Unit Kereta Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson berkenaan Lans Koperal Muhammad Rais Sarip, 29, berkata, dia memuat naik status bergambar berkenaan sebagai simpanan peribadinya mengenai kisah masyarakat yang ditemuinya semasa melakukan tugasan.
Menurutnya, sekelip mata status bergambar berkenaan menjadi tular di Facebook sehingga mendapat lebih 1,400 reaksi dan 673 perkongsian sehingga pukul 6.00 petang tadi.
“Seperti biasa saya bersama Incas (Koperal Muhamad Nizam Adzali) dan dua anggota tentera melakukan rondaan. Dari jauh, kami melihat dengan jelas seorang lelaki sedang menolak sebuah motosikal, sementara seorang wanita berada di atas motorsikal berkenaan.
“Sebaik menghampiri motosikal berkenaan, kami nampak wanita berkenaan mendukung bayi perempuan berusia kurang dua tahun. Kami pun segera memberhentikan kenderaan dan bertanyakan masalah yang dihadapi pasangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Rais berkata, pasangan berkenaan menyatakan mereka sudah kehabisan minyak dan dia menganggarkan stesen minyak berhampiran pula terletak sekitar 10 kilometer dari lokasi berkenaan.
Menurutnya, kediaman pasangan suami isteri berkenaan pula di Batu 12, Jalan Pantai iaitu terletak kira-kira 25 kilometer daripada lokasi berkenaan.
“Atas dasar itu, kami menghulurkan bantuan dan mencari minyak petrol berdekatan. Ditambahkan lagi dengan keadaan cuaca yang agak panas terik.
“Kira-kira tujuh kilometer dari lokasi berkenaan, seorang pemilik kedai runcit menghulurkan bantuan memberikan petrol miliknya secara percuma buat pasangan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan mereka itu merupakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab polis dalam membantu masyarakat yang sedang mengalami kesusahan. – K! ONLINE