SIBU – Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan sebahagian badannya disumbat di dalam sebuah bagasi pakaian sebelum dibuang.
Bagasi pakaian tersebut kemudiannya dijumpai oleh orang awam di tepi Jalan Aman di sini pada pukul 6.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengguna jalan raya berasa curiga dengan bagasi berwarna hitam yang ditinggalkan di bawah pokok di kawasan berkenaan.
“Ketika dihampiri, saksi terkejut apabila melihat kedua-dua kaki hingga paras pinggang mangsa disumbat di dalam bagasi tersebut.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Heng Meow Lin, 37 tahun berasal dari Perak,” katanya.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi tersebut.
Tiada kesan kecederaan pada tubuh si mati. Polis juga tidak menemui sebarang tanda pergelutan dan senjata di lokasi berkenaan.
Mangsa dipercayai mati tidak sampai 24 jam lalu.
Susulan kejadian itu, polis menahan dua individu di sebuah rumah di Jalan Tong Sang di sini pada pukul 3.45 petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.