ROM – Pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling akhirnya menjadi milik AS Roma dengan melengkapkan perpindahan ke kelab berkenaan selepas melalui tempoh cemerlang sebagai pemain pinjaman musim lalu.
Kedua-dua kelab berkenaan mengadakan rundingan panjang sepanjang musim panas lalu mengenai nilai perpindahan sebelum akhirnya mereka berjaya mencapai kata sepakat.
Smalling akan kembali kembali ke Itali dalam tempoh terdekat ini dengan anggaran nilai perpindahan sebanyak £13.5 juta (RM72.77 juta) dan menandatangani kontrak selama tiga tahun menyaksikannya kekal di Stadium Olimpico sehingga 2023.
“Tiada perkara dalam hidup ini datang dengan mudah. Fikiran dan jiwa saya sentiasa berada di Rom dan saya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga besar AS Roma,” kata Smalling.
Bekas pemain antarabangsa England itu melalui detik cemerlang bersama Roma musim lalu apabila membuat 37 penampilan dan meledak tiga gol dalam semua kejohanan biarpun hanya bergelar pemain pinjaman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Roma, Guido Fienga mengakui kejayaan mendapatkan khidmat Smalling adalah suatu yang penting kerana pemain itu dianggap sebagai tulang belakang pasukan itu musim lalu.
“Kami berasa bangga dan mengalu-alukan kehadiran Smalling bersama pasukan ini kerana dia merupakan tonggak penting dan mampu memberikan kekuatan kepada Roma.
“Saya juga mahu berterima kasih kepada Manchester United kerana kesanggupan mereka membuat pertimbangan untuk memastikan perpindahan ini menjadi kenyataan,” jelasnya. – AGENSI