Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan berjaya membongkarkan satu sindiket menukar hak milik dan nombor pendaftaran kenderaan melibatkan pemilik yang sudah meninggal dunia dengan memalsukan dokumen pendaftaran harta pusaka.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pihaknya membuka siasatan selepas menerima laporan daripada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Pilah dan Seremban mengenai penggunaan dokumen palsu untuk menukar nama pemilik dan nombor kenderaan.
“Susulan siasatan berkenaan, seorang lelaki berusia 38 tahun yang berasal dari Melaka ditangkap pada 30 September lalu ketika membuat urusan penukaran nama di pejabat JPJ Seremban.
“Pada hari yang sama kami menangkap dua lagi suspek termasuk pasangan suami isteri di Melaka dan terakhir dilokasi yang sama semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Katanya, semua suspek yang menjalankan perniagaan menjual insurans kenderaan dikesan mula menggunakan dokumen palsu untuk urusan penukaran hak milik kenderaan di JPJ sejak tahun ini.
“Ketika memohon untuk menukar hak milik dan nombor pendaftaran kenderaan pemilik yang sudah meninggal dunia mereka melalui proses yang sah tetapi menggunakan Borang E Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995 dari Pejabat Tanah dan Galian Daerah Melaka Tengah, Melaka yang dipalsukan.
“Kebanyakan kenderaan ini mempunyai nombor pendaftaran yang menarik dan kami percaya mereka turut menjual nombor pendaftaran ini dengan harga RM200 hingga RM1,000,” jelasnya.
Susulan tangkapan itu, polis turut merampas 140 keping geran kenderaan, 32 nombor pendaftaran, tujuh cop timbul, 10 keping Borang E Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995, pelbagai jenis cop, sebuah kereta, 14 motosikal dan pelbagai barangan lain.
Che Zakaria berkata, polis bekerjasama dengan JPJ Negeri Sembilan bagi mengesan jumlah sebenar urusniaga tukar hak milik yang dilakukan sindiket itu dan kemungkinan ia turut dilakukan di negeri-negeri lain.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu yang boleh dihukum penjara 10 tahun dan sebatan. – K! ONLINE