KUALA LUMPUR – Penderitaan ditanggung dua bayi ekoran masalah jantung berlubang sejak dilahirkan berakhir apabila kedua-dua mereka selamat menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
Kedua-dua bayi itu, Nur Farzana Ibnu Abdullah dan Ahmad Syazwan Ahmad Shafie masing-masing berusia lima dan sembilan bulan sebelum ini menderita masalah pernafasan selain perlu makan menggunakan saluran tiub.
Ibu kepada Ahmad Syazwan, Faradatul Mustafa Kamal, 34, berkata, penderitaan anak tunggalnya selama tujuh bulan beransur pudar apabila dia mula menunjukkan perwatakan aktif.
“Ini merupakan sinar baharu buat anak saya. Sebelum ini, dia hanya baring dan makan menggunakan tiub kerana mudah penat dan sering merengek kesakitan.
“Ketika dilahirkan doktor belum mengesyaki apa-apa, namun selepas mengalami demam kuning dan batuk selama dua bulan, dia disahkan menghidapi jantung berlubang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Faradatul yang menetap di Manjung, Perak turut menyifatkan dia dan suaminya berdepan masalah kewangan kritikal sepanjang mendapatkan rawatan anak mereka di Hospital Manjung dan Hospital Serdang.
“Keadaan kami memang perit berikutan terpaksa membelanjakan hampir kesemua wang simpanan untuk kos perubatan termasuk membeli susu formula khas dengan harga RM300 sebulan.
“Kesulitan itu juga disebabkan saya tidak bekerja selepas melahirkan anak selain suami diberhentikan kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu,” luahnya.
Ahmad Syazwan merupakan antara tiga penerima tajaan melakukan pembedahan jantung di IJN daripada Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM).
Sementara itu, ibu kepada Nur Farzana, Norazidah Mohamad Yazid, 28 tahun, menyifatkan, tajaan pembedahan YJKM sebagai satu rahmat memandangkan ia dapat dijalankan segera.
“Sebelum ini, kami menunggu giliran pembedahan di Hospital Serdang dengan kadar bayaran RM500, jika hendak buat di hospital swasta kosnya mencecah lebih RM40,000.
“Jika hendak buat di hospital swasta, kami tidak berkemampuan kerana saya tidak bekerja dan suami hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan gaji RM1,500 sebulan,” katanya.
Tambah Norazidah, dia juga pernah membuat keputusan untuk tidak melakukan pembedahan ekoran bimbang akan kehilangan anaknya.
“Namun, selepas berbincang dengan pakar perubatan, ini (pembedahan) merupakan jalan terbaik dan saya bersetuju untuk melakukannya demi kesihatan Nur Farzana,” katanya.