fbpx

Restoran, kafe perlu kerap lakukan sanitasi elak Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi (empat dari kiri) melihat petugas sebuah premis melakukan sanitasi pada meja makan semasa meninjau operasi di Ipoh hari ini.

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Semua pengusaha restoran dan kafe di bandar raya ini perlu memainkan tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta peka dengan perkembangan semasa berkaitan langkah-langkah pencegahan dan kawalan Covid-19.

Ia termasuk arahan terkini MKN supaya semua pemilik premis makanan, restoran dan kafe menjalankan aktiviti pembersihan dan sanitasi awam secara kerap mangikut garis panduan Kementerian Kesihatan terutama tempat yang kerap disentuh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihak pengurusan kedai makan juga perlu memberikan taklimat tentang SOP MKN mengenai Covid-19 kepada kakitangan supaya faham agar mudah melaksanakan pematuhan tersebut kepada para pelanggan.

Menurut beliau, pembersihan dan sanitasi penting dilakukan secara berkala untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan daripada dijangkiti antara satu sama lain agar tiada jangkitan demi keselamatan bersama.

“Sehingga 6 Oktober ini, sebanyak 395 premis restoran dan kafe telah diperiksa dan kita mendapat 90 peratus premis mematuhi SOP MKN ini. Bagaimanapun terdapat premis yang ambil mudah.

“Sebanyak 43 premis ini telah dikenakan surat amaran. Kegagalan mematuhi syarat ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBI 2017),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa turun padang meninjau Operasi Penguatkuasaan dan Sanitasi Awam Premis Makanan SOP MKN Covid-19 di Greentown di sini hari ini.

Operasi bertujuan memberi kesedaran dan peringatan kepada semua pengendali premis agar mematuhi SOP MKN termasuk melakukan saringan suhu badan, kawalan bilangan pelanggan, menyediakan pelitup muka kepada kakitangan dan menyediakan Aplikasi MySejahtera.

Ketika ini terdapat 2,850 restoran dan kafe beroperasi di kawasan pentadbiran MBI yang menjadi tumpuan ramai setiap hari.

Dalam pada itu, Rumaizi turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan premis makanan yang dikunjungi telah dijalankan pembersihan dan sanitasi yang sempurna sebelum mengunjungi kedai makanan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI