Oleh WAT KAMAL ABAS
BAGAN SERAI – Rakyat diminta jangan panik dengan peningkatan bilangan pesakit Covid-19 yang sedang melanda negara memandangkan kebanyakan kes adalah melibatkan banduan di dalam penjara.
Tinbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan data semasa, sebanyak 57 peratus daripada kes positif Covid-19 kini adalah banduan dari Kluster Tembok.
“Penularan dalam kalangan banduan bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan baru dari Lahad Datu telah disahkan positif Covid-19 pada 2 September lalu dan kluster seterusnya berkaitan banduan turut dikesan di penjara Alor Setar pada 29 September.
“Bagi memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di penjara, beberapa langkah tambahan dan segera bagi mengekang penularan Covid19 dalam penjara dilaksanakan melalui perintah tetap Komisioner Jeneral Penjara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di sini hari ini.
Tambah Noor Azmi, bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan, pihak penjara telah mengambil langkah tambahan dan drastik mengurangkan kesesakan dengan memindahkan sebahagian banduan ke tempat penjara sementara yang telah diwartakan.
“Penjara Alor Setar sudah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Banduan yang baru juga diasingkan. Jika ada perkara yang tidak sempurna, ia akan diperhalusi dan diperketatkan.
“Rakyat perlu bertenang dan tidak perlu gusar, kawasan penjara tertutup serta di bawah kawal selia ketat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi -agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.
Berkenaan kluster Batu, seramai 861 orang telah disaring dan tujuh daripadanya didapati positif Covid-19.
Mereka yang positif telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala tempat jangkitan juga telah dijalankan disinfeksi nyah kuman. Saringan turut dibuat secara aktif untuk membendung penularan di kem tahanan berkenaan. – K! ONLINE.