fbpx

Polis tumpaskan sindiket edar minuman keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara minuman keras yang dirampas dalam Operasi Methanol di Klang kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras yang bergiat aktif di Lembah Klang menerusi Op Methanol dengan nilai rampasan lebih RM1 juta pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung sindiket terbabit yang aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Lembah Klang.

“Operasi tersebut telah berjaya menahan enam orang lelaki yang terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun.

“Sejumlah 2,532 karton bir, 1,082 kotak ‘liquor’ seludup pelbagai jenama dan 49 karton rokok seludup putih telah dirampas dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.28 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, turut dirampas ialah sebilah pedang, dua buah kontena dan empat buah kenderaan iaitu Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia serta Proton Persona membabitkan keseluruhan rampasan berjumlah RM1.85 juta.

“Semakan mendapati seorang daripada enam suspek berkenaan mempunyai satu rekod jenayah.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 12 Oktober ini untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI