Oleh ZULHANIFA SIDEK
SEORANG penyokong setia bola sepak Kelantan sejak lebih 50 tahun lalu, Mohammad Salahuddin Latiff, 71, percaya pasukan disayanginya itu akan kembali bersinar dibawah kendalian pakar pelaburan dan usahawan terkenal, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Menurut Salahuddin atau mesra dengan panggilan Pok Lah, kebijaksanaan Norizam dalam mengurus pasukan The Red Warriors (TRW) dijangka dapat mengembalikan kegemilangan arena bola sepak Kelantan sebelum ini.
Katanya, beliau amat kagum dengan kesungguhan Norizam mengambil alih pasukan Kelantan selain sanggup menyelesaikan semua masalah kewangan dan membayar hutang lapuk termasuk gaji para pemain.
“Pok Lah melihat Norizam tidak sayang duit dan mempunyai perancangan lengkap untuk mengembalikan kegemilangan Kelantan. Saya yakin beliau akan merealisasikan impian itu.
“Pasukan TRW tidak dinafikan mempunyai ramai pemain hebat sejak dahulu lagi, namun ada sesetengah pihak menghancurkan reputasi itu dengan pengurusan tidak betul. Jika pengurusan baik, jujur dan bijak, maka hebatlah pasukan itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kedai kopi miliknya di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.
Tambahnya, dia menyokong Kelantan sejak 1967 ketika stadium di Jalan Merbau, Kota Bharu hanya berpagarkan guni besar.
Katanya, dia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk menyaksikan pasukan TRW beraksi di gelanggang lawan ketika itu.
Mengimbas kembali kenangan tahun 1971 semasa perlawanan Kelantan menentang Perak, cerita Pok Lah, satu kekecohan berlaku melibatkan penyokong kedua- dua pasukan sehingga dia terkena gas pemedih mata.
“Pada masa itu Kelantan tewas 1-2 sehingga berlaku kekecohan . Pemain terkenal pada masa itu adalah Allahyarham Salleh Ibrahim dan dia juga seorang pemain skuad negara untuk Sukan Olimpik Munich 1972 selain Hamid Ramli.
“Setiap petang saya ke stadium untuk melihat pemain-pemain menjalani latihan untuk memberi sokongan dan sekarang saya tidak boleh menumpukan sepenuhnya kepada pasukan Kelantan kerana diserang strok dan hanya mampu menguruskan perniagaan kedai kopi,” ujarnya.