fbpx

Perak aktifkan semula pusat kuarantin dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Kerajaan negeri akan mengaktifkan semula Pusat Kuarantin di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai dalam masa terdekat susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pusat kuarantin yang dalam proses pengaktifan semula itu mempunyai kapasiti 90 buah bilik.

Katanya, pengaktifan pusat kuarantin berkenaan adalah tambahan kepada dua buah hotel di sekitar Ipoh yang masih aktif untuk kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di negeri Perak.

“Walaupun bilangan kes tertinggi tertumpu di kawasan-kawasan tertentu dan terkawal namun kerajaan negeri amat komited untuk meminimumkan risiko penularan khususnya di Perak.

“Kita percaya langkah-langkah kawalan seperti mengaktifkan pusat kuarantin akan membantu mengurangkan risiko penularan dengan memastikan individu berisiko dikuarantin,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga sedang bersedia mengaktifkan lima buah pusat kuarantin lain sekiranya diperlukan dan atas nasihat Jabatan Kesihatan.

Katanya, lima buah pusat kuarantin berkenaan adalah Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Institut Latihan Pegawai Awam Perak (ILPA), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Teknologi Pendidikan Negeri Perak (TPNP) di Ipoh serta Institut Tadbiran Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) di Tanjung Malim.

“Saya menyeru rakyat di negeri ini agar sentiasa berdisiplin dengan mematuhi semua SOP dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka, sentiasa cuci tangan dan menjaga penjarakan sosial,” katanya.

Setakat semalam, lapan kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Perak hasil saringan individu di Daerah Larut Matang Selama (LMS) dan Kinta.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, kerajaan negeri telah meluluskan Bantuan Tunai Sara Hidup kepada mahasiswa anak Perak khususnya dalam kalangan keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) yang melibatkan peruntukan lebih RM200,000.

Katanya, bantuan secara ‘one off’ sebanyak RM150 itu akan memberi manfaat kepada 1,500 pelajar.

“Kerajaan negeri juga bersedia menyediakan perkhidmatan pengangkutan jika terdapat permintaan daripada kumpulan mahasiswa yang terkandas di kampus melebihi 10 orang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI