Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Seorang penyeludup lari lintang-pukang dengan meninggalkan barangan runcit seludup bernilai RM5,264 di belakang pos kawalan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di sini selepas kegiatan haramnya itu dihidu oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Waja keluar dari pangkalan haram Posmen dalam keadaan mencurigakan pada pukul 7 pagi.
“Anggota PGA telah bertindak mengekori kereta itu sehingga ke laluan kampung tepi pos kawalan Aksem Rantau Panjang.
“Sebaik menyedari dirinya diekori, pemandu tersebut bertindak memberhentikan kereta dan melarikan diri ke kawasan semak yang berhampiran,” katanya.
Azhari memberitahu, anggota PGA kemudian telah menjalankan usaha mengesan pemandu tersebut, namun menemui jalan buntu.
Katanya, hasil pemeriksaan yang telah kita jalankan terhadap kereta itu membawa kepada penemuan pelbagai barangan runcit seperti beras, tepung, mi segera, tembakau dan minuman.
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM20,264 termasuk kereta.
“Kesemua barangan rampasan itu untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk membuat laporan dan siasatan lanjut,” ujarnya.
Azhari memberitahu, siasatan awal mendapati pelbagai barangan runcit ini diseludup dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Rantau Panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE