KOTA BHARU – Pengerusi Kelab Berbasikal Darul Naim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan pembangunan sukan berbasikal berjumlah RM80,000 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Yusri Ismail, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sebagai pengerusi kelab itu telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta iaitu wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 bagi kegunaan sendiri.
Mohammad Yusri didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh pada 26 Mac tiga tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut sekyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda.
Bagi pertuduhan pilihan, Mohammad Yusri didakwa menyalahgunakan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 untuk kegunaan sendiri.
Perbuatan itu dilakukan di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Zulhilmi Mokhtar dan Iszam Kamal Ismail.
Norhamizah memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Zulhilmi dan Iszam Kamal merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana mengambil kira tertuduh yang kini tiada pekerjaan selain perlu menanggung 10 orang anak dan ibu yang menghidap penyakit jantung kritikal.
Zaman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat selain tidak menganggu saksi kes.
Mahkamah menetapkan tarikh 29 November depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE