LIVERPOOL – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool terus berdepan nasib malang apabila sah hilang khidmat penjaga gol No. 1, Alisson Becker selama empat hingga enam minggu.
Ia bermakna The Reds terpaksa bergantung harap kepada penjaga gol kedua, Adrian yang mempamerkan aksi goyah sebelum ini.
Ini kerana Adrian dikatakan antara punca utama Liverpool diaibkan Aston Villa dengan kekalahan 2-7 pada aksi EPL di Villa Park kelmarin.
Jurulatih penjaga gol Liverpool, John Achterberg mengakui, kehadiran Alisson amat diperlukan kerana kemampuan bintang skuad antarabangsa Brazil itu.
“Adakalanya Ali (Alisson) tersilap langkah kerana gagal membaca hantaran pasukan lawan, namun dia mempunyai kepantasan untuk kembali ke posisi sebenarnya.
“Tidak semua penjaga gol mempunyai ciri-ciri yang ada pada dirinya. Paling penting dia tidak panik walaupun berada dalam situasi bahaya seperti satu lawan satu,” katanya.
Kecederaan bahu menyaksikan Alisson mungkin terlepas empat aksi EPL bertemu Everton, Sheffield United, West Ham United dan kemungkinan Manchester City selain tiga perlawanan Liga Juara-Juara menentang Ajax, Midtjyllan serta Atalanta. – AGENSI