KUALA LUMPUR – Khuatir dengan kenaikan jumlah kes harian Covid-19 yang mencatatkan peningkatan sejak minggu lalu menyebabkan pelakon Nad Zainal mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak lagi menghantar anaknya ke sekolah tadika.
Menerusi perkongsian dalam Insta Story semalam, pelakon berusia 30 tahun berkata, dia berhenti menghantar anak kesayangannya Fahad Ibrahim ke sekolah kerana terlalu paranoid dengan virus berbahaya itu.
“Saya berhenti menghantar Yem (panggilan manja anaknya) ke sekolah tadika.
“Siapa lagi macam saya? Paranoid Covid,” tulisnya.
Fahad yang merupakan anak sulung hasil perkahwinan Nad bersama suami, Faliq Amirudin kini berusia empat tahun.
Peningkatan jumlah harian Covid-19 selama lima hari berturut-turut sejak 1 Oktober lalu dengan jumlah kes sebanyak tiga angka membimbangkan ramai pihak termasuk para selebriti yang cakna dengan situasi semasa negara.
Rata-ratanya memberi nasihat kepada pengikut dalam media sosial supaya kekal menjaga kesihatan, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan serta sentiasa memakai pelitup muka dan hidung. – K! ONLINE