fbpx

Jangan jadi batu api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

PENDAFTARAN kemasukan pelajar baharu universiti awam dan universiti swasta bermula bulan ini memberikan satu pe­ngalaman indah.

Namun, situasi itu berbeza tahun ini lantaran negara sekali lagi dilanda penularan pandemik Covid-19 gelombang ketiga ekoran kes jangkitan semakin meningkat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah sejak 26 September lalu.

Kementerian Pengajian Tinggi terpaksa membuat pengumuman pada saat akhir pada 2 Oktober lalu dengan mensarankan agar semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta menangguhkan sesi pendaftaran pelajar secara fizikal.

Susulan itu, pihak universiti kemudian mengarahkan sesi kemasukan pelajar baharu dan lama dilakukan secara online.

Rekomen KPT itu memberi kesan terhadap pelajar kerana ada yang sudah sampai ke universiti lebih awal, ada yang sudah membeli tiket serta menyewa bilik atau rumah sewa.

Malah, situasi itu diburukkan lagi dengan arahan beberapa institusi pengajian tinggi yang didakwa memberi arahan supaya pelajar yang sudah mendaftar mengosongkan kolej kediaman.

Ada pelajar terpaksa berpatah balik ke kampung selepas menempuh perjalanan jauh, tidak kurang juga terpaksa mencari alternatif lain.

Bagi mereka yang berkemampuan bolehlah lepaskan lelah di hotel, bagaimana pula dengan pelajar yang datangnya dari keluarga susah.

Susulan permasalahan ini, ada beberapa badan bukan kerajaan, parti politik serta individu perseorangan tampil menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan pelajar yang terjejas termasuklah penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Ebit Lew menyewa bas bagi urusan pengangkutan untuk menghantar pulang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terjejas.

Namun, ada pihak yang kurang senang dengan tindakan itu sehingga pihak pengurusan tertinggi menghubungi Ebit Lew supaya membuat permohonan maaf secara terbuka.

Majlis Perwakilan Pelajar UPSI pula tampil dengan ke­nyataan seolah-olah dilihat cuba mencari salah menutup kesilapan mereka sendiri.
Pada pandangan penulis, ke­dua-dua pihak membuat khilaf.

Pertama, Ebit Lew sepatutnya memaklumkan kepada UPSI berhubung kaedah serta bantuan untuk penghantaran pulang pelajar yang terjejas untuk mengelakkan pihak universiti dipersalahkan jika terjadi perkara buruk.

Apabila kita masuk rumah orang, kita sepatutnya mengetuk pintu serta memberikan salam, bukan main terjah sahaja.

Kedua, pihak pengurusan ter­tinggi UPSI juga sepatutnya tidak mudah melatah sebaliknya berkomunikasi secara bersemuka.

Seterusnya, pihak ketiga pula janganlah mencari populariti untuk menaikkan jumlah penonton (viewer) laman sosial ma­sing-masing dengan menjadi batu api dengan memuat naik status berbaur kecaman terhadap satu pihak.

Cara itu tidak memberi hasil yang positif, malah mengeruhkan lagi keadaan.

Akhir sekali, penulis memuji sikap kedua-dua pihak sama ada Ustaz Ebit Lew mahupun pengurusan UPSI yang pada hujung­nya mencapai titik persefahaman dalam menyelesaikan kemelut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI