Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Seorang ibu tunggal yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis pada semalam memberi alasan terlibat dalam masalah ketagihan dadah sejak beberapa tahun lalu akibat tekanan perasaan selepas bercerai dengan suaminya.
Wanita berusia 32 tahun itu merupakan antara 16 individu disyaki penagih dadah yang ditahan dalam Op Cegah di enam lokasi berisiko tinggi di negeri ini bermula pukul 8 pagi semalam hingga pukul 6 pagi tadi.
Enam lokasi terlibat adalah Kuala Perlis, Seriab, Kurong Batang, Utan Aji, Sena dan Sanglang.
Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad berkata, ibu tunggal terbabit ditahan ketika sedang tidur di rumahnya di Kuala Perlis kira-kira pukul 2.30 pagi ini.
“Wanita terbabit dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah akibat tekanan hidup selepas berpisah dengan suaminya yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, ibu tunggal yang mempunyai empat anak lelaki berusia antara dua hingga 11 tahun itu berniaga ikan pekasam dan ikan kering secara kecil-kecilan.
Menurut Khairul Anwar, pihaknya turut menahan seorang lagi wanita berusia 39 tahun dan 14 lelaki berusia antara 19 hingga 49 tahun dalam operasi tersebut.
“Wanita yang berperwatakan lelaki itu didapati pernah dijatuhkan hukuman penjara sebanyak lapan kali atas kesalahan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.
“Kesemua mereka tidak direman, sebaliknya diberikan jaminan polis susulan penularan pandemik Covid-19 dalam negara,” katanya. – K! ONLINE