KUALA LUMPUR – Pelakon Ashraf Muslim memohon agar rakyat Malaysia terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan Covid-19 tidak terus menular dalam negara ini.
Pelakon yang pernah disahkan positif Covid-19 itu menasihatkan agar semua orang dapat kurangkan daripada aktiviti luar rumah seperti melepak dan bersiar-siar di tempat awam.
Ashraf atau nama penuhnya Muhd. Ashraf Muslim, 39, kebanyakan mereka yang tidak patuh dengan SOP kerana tidak mempunyai pengalaman dijangkiti wabak pandemik tersebut.
“Nasihat saya, berhati-hatilah dan jangan ambil lewa dengan Covid-19. Mungkin anda tak pernah dijangkitj lagi sebab itu ambil mudah saja.
“Ya, memang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita semua bersungguh-sungguh menaikkan ekonomi keluarga masing-masing tapi perlulah jaga SOP sebaik mungkin.
“Sayanglah dah elok-elok bilangan kes baharu Covid-19 satu angka, bertambah jadi tiga angka dan malangnya dah empat hari berturut-turut pula. Nak PKP balik ke?,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagramnya semalam.
Tambah pelakon Ada Apa Dengan Dosa itu, pelaksanaan PKP buat kali kedua pastinya akan lebih menjejaskan banyak pihak.
“Kalaulah berlaku PKP payahlah kita semua, banyak benda nak kena cover dari segi komitmen masing-masing. Susah nak kerja dan lagi susah perniagaan semakin merudum.
“Jadi dengan keadaan sekarang sama-sama kita patuh SOP dan kebersihan sebaik mungkin. Jangan banyak sangat lepak dan pergi di tempat awam,” ujarnya lagi.
Ashraf turut menegaskan virus berkenaan tidak mengenal erti pangkat dan kedudukan seseorang itu.
“Covid tidak mengenal kita siapa. Anda kaya? Miskin? Datuk ke Tan Sri? Badan sado ke kurus kering? Makan minuman kesihatan hari-hari atau tak makan? Covid ni belasah semua.
“Apabila tiba di rumah, segera mandi dan jangan ada sentuhan dengan keluarga, mandi dulu! Kemudian barulah lakukan apa yang anda mahu,” katanya lagi.
Ashraf turut berpesan agar pesakit yang dijangkiti tidak sedih dan murung dengan dugaan yang melanda.
“Mereka yang dijangkiti pada waktu ini, jangan murung. Ada sebab Allah SWT pilih kita untuk menjadi pesakit Covid.
“Belajar erti redha, sabar dan bersyukur sepanjang dikuarantin di wad. Dekatkan diri dengan Allah. Imarahkan wad dengan Islam,” ujarnya.
Terdahulu, Ashraf pernah disahkan positif Covid-19 pada April lalu selepas pulang daripada menjalani penggambaran drama bersiri di Scotland bersama Puteri Aishah dan Hasnul Rahmat. – K! ONLINE