MANCHESTER – Manchester United berjaya melengkapkan perpindahan bekas penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani.
Penyerang berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun dengan pilihan untuk lanjutan selama 12 bulan lagi selepas itu.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu bakal meraih pendapatan sebanyak £10 juta (RM53.90 juta), selain tambahan £1 juta (RM5.39 juta) untuk bonus persembahan serta turut menerima £3 juta (RM16.17 juta) untuk bayaran menandatangani kontrak.
“Manchester United adalah salah satu kelab yang mempunyai nama besar saya rasa sangat bertuah untuk berada di sini.
“Saya bekerja keras sejak beberapa bulan lalu dan kini sudah tidak sabar untuk bersaing dan memberikan sumbangan kepada kelab ini.
“Saya beraksi di hadapan penyokong yang sangat sayangkan kelab mereka sepanjang karier dan saya fikir situasi yang sama juga di Manchester. Saya tidak sabar untuk merasai suasana di Old Trafford terutama selepas penyokong dibenarkan masuk ke stadium nanti.
“Saya sangat teruja untuk ‘menulis’ pengalaman baharu di United dalam buku perjalanan karier bola sepak saya nanti. Fokus saya tidak pernah berubah, saya hanya mahu bekerja keras.
“Saya sudah bercakap dengan pengurus dan ia membuatkan saya lebih semangat menyarung jersi pasukan ini,” katanya.
Cavani menjadi pemain ejen bebas selepas meninggalkan PSG apabila aksi Ligue 1 berakhir akibat Covid-19 dan enggan menandatangani kontrak jangka pendek menyebabkan dia terlepas aksi Liga Juara-Juara dan tidak beraksi sejak Mac lalu.
Sepanjang tujuh musim di Paris, Cavani muncul sebagai penjaring terbanyak untuk kelab itu apabila meledak 200 gol dalam 301 penampilan dalam semua kejohanan. – AGENSI