JOHOR BAHRU – Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru menafikan salah seorang pesakit luar Klinik Kesihatan Taman Sri Orkid di sini positif Covid-19.
Pejabat itu dalam kenyataan memaklumkan, tiada kes positif dilaporkan setakat ini di Klinik Kesihatan tersebut.
“Berdasarkan siasatan hanya pengesanan kes yang disyaki (PUI) sahaja yang dilaporkan di klinik itu. Klinik itu sudah dilakukan disinfeksi oleh Pejabat Kesihatan Daerah antara pukul 1 hingga 3 petang semalam.
“Pesakit yang menunggu di luar klinik adalah pesakit yang mempunyai temu janji pada sebelah petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu, masyarakat diminta tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Semalam, satu video berdurasi 26 saat itu tular dengan menyebut satu kes positif Covid-19 telah dilaporkan di klinik tersebut dan kesemua pesakit telah bertempiaran keluar. – K! ONLINE