fbpx

Bicara, reman tahanan Penjara Reman Pulau Pinang ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Taklimat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan diadakan di Komtar, George Town hari ini disertai ketua-ketua Jabatan Kesihatan negeri dan jabatan-jabatan keselamatan.

GEORGE TOWN – Perbicaraan dan reman melibatkan kes-kes tahanan Penjara Reman Pulau Pinang di mahkamah seluruh negeri ini akan ditangguhkan ekoran salah seorang banduan yang meninggal dunia kelmarin didapati positif Covid-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara berkenaan merupakan antara yang dibentangkan pada taklimat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan hari ini.

“Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa keadaan di Penjara Reman Pulau Pinang masih terkawal dan pada peringkat permulaan. Malah, tindakan pantas juga telah diambil oleh semua pihak dalam mengawal perebakan wabak terbabit.

“Jabatan Penjara negeri telah menulis surat kepada pihak mahkamah bahawa kes-kes perbicaraan dan reman ditangguhkan sehingga makluman lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis taklimat itu disertai wakil-wakil kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan negeri dan ketua jabatan-jabatan keselamatan berkaitan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, beliau dimaklumkan bahawa kesemua banduan akan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan keutamaan diberikan kepada kontak utama.

“Saringan turut dijalankan terhadap kakitangan penjara.

“Semua pihak juga berada dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam tempoh 24 jam setiap hari,” katanya.

Kelmarin, seorang banduan berusia 85 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang dan disahkan positif Covid-19 selepas didapati tidak sedarkan diri di penjara itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI