KUALA LUMPUR – Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pencemaran sungai Batang Benar di Nilai, Negeri Sembilan ditahan di Kota Bharu, Kelantan semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dua lelaki yang ditahan itu berusia 20-an dan 30-an.
“Pihak polis telah membawa kedua-dua suspek dari Kota Bharu ke Negeri Sembilan untuk disoal siasat.
“Kita belum ada butiran lanjut kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Portal dan Aplikasi Semak Mule (keldai akaun).
Kosmo! semalam melaporkan polis Negeri Sembilan sudah mengenal pasti suspek yang membuang sisa buangan hingga mencemarkan sungai Batang Benar di Nilai dekat sini dan yakin individu berkenaan dapat ditangkap tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pegawainya kini berada di sebuah negeri tempat suspek tinggal dan yakin individu itu da pat ditangkap seterusnya didakwa di mahkamah.
“Selepas menerima laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai insiden ini, kami membuka kertas siasa tan dan seterusnya memburu suspek yang disyaki terbabit mencemarkan sungai Batang Be nar ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tali air atau sungai,” ujarnya. – K! ONLINE