KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini, mengesahkan kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, pada 2 Oktober lalu.
Azhar hari ini telah mengemukakan pemberitahuan kepada Pengerusi Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) selari dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan SPR mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah, dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan adanya kekosongan.
“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengeluarkan suatu pemberitahuan bertarikh 6 Oktober 2020 kepada Pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah, telah meninggal dunia pada Jumaat (2 Oktober 2020).
“Oleh yang demikian, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan bahawa ada kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu laporan akhbar memberitahu, Vui Keong meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan paru-paru pada jam 11.50 pagi, 2 Oktober lalu.
Pemimpin Parti Warisan yang berusia 60 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu.
Mendiang yang berasal dari Kota Belud dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menyandang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. K! ONLINE.