RALEIGH, Virginia Barat – Seorang wanita di Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara 40 tahun atas kesalahan membunuh teman lelaki sendiri kerana dia mahu berkahwin dengan bapa kandungnya. Pembunuhan itu dikatakan berlaku pada Februari 2019.
Tertuduh, Amanda McClure, 31, dibantu oleh bapa kandung, Larry McClure Sr, 55, dan kakaknya, Anna Marie Chaudhary, 32, untuk membunuh mangsa di sebuah rumah di Skygusty, Virginia Barat, demikian menurut laporan stesen berita WOAY.
Mangsa dikenali sebagai John McGuire, 38, disuntik dadah methamphetamine sebelum dia dicekik dan dipukul di kepala menggunakan botol arak oleh ketiga-tiga suspek sehingga mati.
Mayat McGuire kemudian ditanam di dalam satu kubur cetek di belakang rumah berkenaan sebelum dikeluarkan semula. Mayat mangsa kemudian dikerat-kerat kepada beberapa bahagian dengan harapan ia lebih cepat mereput.
Amanda dan Larry dilaporkan berkahwin di sebuah lokasi di luar Virginia Barat. Bapa wanita itu menggunakan nama palsu untuk mengahwini anaknya, tiga minggu selepas mereka membunuh McGuire.
Menurut Amanda, dia terpaksa membunuh McGuire kerana bapanya cemburu dengan mangsa dan tidak mahu orang lain mendekati dirinya.
“Dia seorang lelaki yang baik, kalaulah saya boleh betulkan apa yang berlaku.
“Saya telah melukakan hati keluarga McGuire dan keluarga saya sendiri. Semua ini berlaku kerana ayah tidak mahu orang lain mendekati saya,” kata Amanda dalam perbicaraan yang berlangsung menerusi penstriman video di Mahkamah Daerah McDowell, 1 Oktober lalu.
Amanda dibesarkan oleh keluarga angkat sejak kecil dan hanya bertemu keluarga kandung apabila dia sudah dewasa sebelum terjebak dalam hubungan intim bersama bapa sendiri.
Sementara itu, Hakim Ed Kornish dalam kenyataan menyelar tindakan tiga beranak itu yang dianggap keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Meskipun menerima kemungkinan Amanda berada di bawah pengaruh bapanya, namun itu bukan alasan membunuh mangsa secara membuta tuli.
“Saya jatuhkan hukuman penjara 40 tahun kepada anda. Saya berharap anda gunakan masa di dalam penjara untuk berfikir semula tentang apa yang anda sudah lakukan dan meninggalkan penjara sebagai orang baharu,” katanya lagi.
Terdahulu, Larry dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol bagi kesalahan tersebut. Anna Marie pula masih menanti perbicaraan bagi pertuduhan bersubahat membunuh. – Agensi