BIRMINGHAM – Pengurus Aston Villa, Dean Smith tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas anak-anak buahnya mencipta kejutan terbesar apabila mengaibkan Liverpool 7-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park awal pagi semalam.
Pembelian rekod termahal Villa dengan nilai £28 juta (RM150.7 juta), Ollie Watkins muncul wira apabila meledak hatrik, sementara Jack Grealish menjaringkan dua gol diikuti Ross Barkley dan John McGinn masing-masing dengan satu gol.
Smith berkata, kemenangan itu adalah aksi terbaik yang pernah ditampilkan Villa sejak beliau mengendalikan pasukan tersebut, lebih-lebih lagi ia dilakukan ke atas juara bertahan, Liverpool.
“Sudah tentu kemenangan ini akan berada pada senarai tertinggi dalam karier saya. Satu keputusan menakjubkan ke atas sebuah pasukan terbaik di England dan juga Eropah.
“Satu persembahan yang sangat istimewa daripada semua pemain. Saya sangat bangga dan gembira kerana perancangan kami berjalan dengan cukup sempurna,” katanya.
Pengendali berusia 49 tahun itu mengakui, tidak terkejut dengan kecemerlangan prestasi ditunjukkan Watkins kerana beliau amat mempercayai keupayaan penyerang hatrik tersebut.
“Sebelum ini ramai orang mempertikaikan keputusan saya untuk membeli Watkins, namun saya tidak pernah meragui kemampuannya. Dia berjaya membuktikan pelaburan kami akhirnya berbaloi,” jelas Smith. – AGENSI