IPOH – Lebih 2,300 peniaga di negeri Perak bakal meneroka peluang perniagaan lebih meluas melalui pelancaran kempen Support Perak, Moh Belanja yang dijayakan bersama Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan Lazada Malaysia (Lazada).
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Datuk Meor Redwan berkata, kerjasama tersebut adalah lanjutan daripada pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak menerusi inisiatif SMART Niaga@Perak pada Mei lalu.
Menurut beliau, kerjasama itu adalah untuk menyediakan laman mikro e-dagang khusus bagi kumpulan peniaga berkenaan.
“Langkah ini dapat membantu memulihkan semula ekonomi usahawan dengan menggalakkan dan mentransformasikan operasi konvensional secara fizikal kepada platform digital.
“Peniaga yang menyertai program ini dikhususkan kepada mereka yang berdaftar dengan SMART Niaga@Perak, tetapi kita masih lagi membuka penyertaan secara percuma kepada mana-mana peniaga yang berminat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.
Turut hadir Naib Presiden Lazada bagi Dasar Awam & HaI-Ehwal Kerajaan, Shahrul Azhar Shaari.
Kempen yang berlangsung sehingga hujung tahun ini dijangka dapat melonjakkan peningkatan peniaga tempatan sehingga 200 peratus.
Meor Rezal Fitri menerangkan, kerjasama antara Lazada dengan Digital Perak ini akan memperkukuh usaha bagi membantu sektor perniagaan tempatan mengatasi cabaran pendigitalan mereka.
Tambah beliau, tiga jenis perniagaan yang menjadi penyumbang terbesar program tersebut ialah makanan, elektronik dan aksesori.
“Selain itu, Digital Perak turut menyediakan latihan dan bimbingan kepada peniaga untuk memahirkan diri mereka dengan aplikasi digital dan platform e-dagang,” ujarnya.